Sunday, December 16, 2007

Tak mahu hilang aku…

Itu pengakuan dia. Saya ulang soalan ingin kan kepastian dan dia minta maaf kerana meluahkan kata-kata yang sebegitu. Saya tahu dia perlukan saya. Tapi hanya sebagai seorang sahabat. Dia tidak mahu hilang saya sebagai sahabatnya. Dia suka bila bersama saya, dia rasa saya adalah seorang yang best sangat, cute sangat, baik sangat dan macam-macam pujian lagilah. Tapi dia hanya mahu hubungan sebagai sahabat sahaja.
Sungguh-sungguh, kalau diikutkan hati, saya mahu saja angkat kaki. Pergi dan tinggalkan dia terkapai-kapai sendiri. Sebab saya tau satu hari nanti dia juga pasti akan tinggalkan saya. Iya, bila dia jumpa gadis idamannya. Yang lebih cantik. Yang lebih seksi. Yang lebih vogue. Habis saya? Tanggung rasa sunyi lagi… Hai lelaki…lelaki…Saya masih lagi seorang manusia yang punya hati dan perasaanlah…

P/S: Dan saya masih di situ…melayan karenah dia yang macam-macam…sabar je laaa…

Thursday, September 27, 2007

Wokeh! ini spesel untuk Kak Dell

5 Benda dalam handbag saya:

i. Pen dakwat basah yang Mandy (karangkraf) bagi
ii. Purse
iii. Lancome perfume
1v. Sony Erricsson Quick Share
v. Pen drive

5 Benda dalam purse saya:

i. My Card
ii. Lesen memandu
iii. Maybank Card
iv. Duit
v. Esprit Privilege Card

5 Benda fevret dalam bilik saya:

i. My PC
ii. Cermin panjang dari kayu jati (sayang ni sebab beli pakai duit sendiri huhu)
iii. Wardrobe saya lerrr...sebab banyak koleksi baju haha! saya ni kaki shopping!
iv. Koleksi handbag saya
v. Katil, tilam bantal, teddy bear....kalau tak de tak leh tido beb...

5 Benda yang saya teringin nak buat:

i. Tengok hasil karya saya di layar perak
ii. Gi holiday oversea+umrah
iii. Shoppingggg sakan!!!
iv. Nak beli rumah sendiri
v. Saya teringin nak jumpa my soulmate...oh bilalahhhh...

5 Benda yang saya tengah buat sekarang:
i. Tengah menaip benda tag ni lah
ii. Sambil mendengar lagu 'Perpisahan' nyanyian Anuar Zain, uuuu sadisss...
iii. Kepala tengah fikir pasal juadah buka pose petang ni
iv. Tengah teringat kat seseorang yang entah teringat kat saya ke entah
v. Surf web Jabatan Tenaga Kerja at the same time, nak kena cari pekerja baru lerrr huhu!

Tuesday, September 25, 2007

Saya Sudah Ke sana

Mereka baik…Terlalu baik…Dia pun sangat baik…
Dia sangat baik pada saya…
Masakan saya boleh lupa…
Bila dia selimutkan saya…
Bila dia halakan kipas di bilik kakaknya ke arah saya…
Bila dia banyak belanjakan duit dia untuk saya kali ini…
Bila dia bukakan pintu kereta untuk saya…
Bila dia belikan juadah berbuka puasa ikut selera saya…
Bila dia ajak saya jalan-jalan kawasan kampungnya…
Bila kami shopping sama-sama…
Bila dia bercakap sambil merenung mata saya…
Bila dia tersenyum ke arah saya…
Bila kami berkongsi mendengar lagu dari mp3 henfonnya…
Bila kami berkongsi tentang macam-macam cerita…
Bila dia kenalkan saya pada kawan-kawan dan sedara maranya…

Dia bukan seorang lelaki yang mengambil kesempatan pada saya…
Walaupun dia punya banyak peluang untuk lakukan itu ke atas saya…
Sebab kami telah tidur bersama…oh…di dalam bas ya…bukan di atas katil…
Tapi dia langsung tidak menyentuh saya…
Dia adalah lelaki yang menjaga maruah saya…

Mimpi…3 hari 2 malam yang lepas berlalu bagai mimpi indah…
Saya tidak mahu terjaga…saya mahu terus bermimpi lagi…
Saya mahu terus bermimpi bersama dia…

Tapi hari ini saya sudah tersedar…dia tak akan menjadi milik saya…
Saya seorang yang banyak kurangnya…Doa saya buat dirinya…Semoga nanti dia berjumpa dengan seseorang yang berbaloi untuknya…Insya Allah… kerana dia adalah lelaki yang baik…

Dan saya masih berharap, sebelum saya dipanggil Illahi… saya mahu merasa menyayangi dan disayangi dengan sepenuh hati…

P/s: Mak dia belikan saya blouse…terharunya

Sunday, September 2, 2007

Gelora Asmara...

Entah sejak bila dia mula sukakan saya...
Dulu pernah juga dia nak try-try...
Saya layan jugalah...tapi layan gitu-gitu je...
Tak adalah sampai saya jatuh cinta kat dia...
Lagipun, Dia ada semua yang seorang perempuan perlukan...
Jadi, saya rasa saya tak sesuai untuk dia...
Saya seorang yang banyak lemahnya...

Entah apa yang terjentik dihatinya...
Kali ini dia datang lagi...
Dia masih sukakan saya macam dulu...
Tapi kami dah jauh...
Dan dia pulak memang terkenal dengan perangai 'mat romeo'...
Hmm...entahlah...sampai bila saya nak tersepit dalam hubungan macam ni...
Cuma dia nampak bersungguh...
Sebab 4 Ramadhan nanti saya diajak ke rumah ibu bapanya...
Alahaaaaiii...berdebarnya...

P/S: Gelora Asmara adalah novel saya yang sudahpun berada di pasaran.

Sunday, August 19, 2007

Mak Cik ku Kawen lagi...

Alhamdulillah...acik Yah selamat juga diijabkabulkan bersama peneman setianya, acik Pujaan. Owh, Pujaan itu adalah nama sebenar ya. Dua hari saya rewang di kampung. Pergh, badan tak tau nak cakaplah. Sampai-sampai aje terus hiris bawang, hiris segala macam rencah masakan. Malamnya pulak sibuk pasang langsir, kemas ruang tamu, buat hantaran. Maklum saja, oleh kerana ini adalah perkahwinan kali kedua acik Yah yang telah menjanda selama 8 tahun, jadi kendurinya simple dan sekadar untuk ahli keluarga sajalah. Sebab tu kena masak dan buat semuanya sendiri. Segalanya berjalan dengan lancar, kelakar jugak tengok acik Yah yang kadang-kadang digiat oleh sedara mara yang datang hehehe...iyalah, jodohnya dengan si bujang trang tang tang. Mana taknya. Tapi yang paling best adalah pengalaman pertama saya menyaksikan upacara akad nikah secara live depan mata. Huiisshhh...baru saya tau yang upacara ni makan masa lama. Tapi apa-apa pun, tahniahlah buat acik Yah untuk perkahwinan
keduanya ni.


Acik Yah and the Kasim's Gang.

Me and Acik Yah...bila pulaklah nak turn aku ni...huhu!




Sunday, August 12, 2007

Tidak berjaya...gagal dan kecewa...

Siapa dalam dunia ini dapat menerima kegagalan? Saya tidak rasa ada manusia dalam dunia ini merancang sesuatu untuk gagal. Mungkin dia gagal merancang menyebabkan dia gagal dalam perancangannya. Oh! Saya amat benci gagal. Orang-orang yang mempunyai masalah inferioriti kompleks seperti saya akan menjadi terlalu kusut bila gagal. Mungkin juga terlalu banyak kegagalan-kegagalan telah dilalui membuatkan orang-orang ini buntu arah dan menjadi terlalu lemah untuk bangkit semula. Bunuh diri? Ah! Berani? Jika takut untuk bunuh diri jadi terpaksalah teruskan kehidupan yang entah apa yang bakal ditempa esok-esok...

Gagal memang sesuatu yang amat mengecewakan...Perlu bangun...Perlu usaha lagi...Perlu tekad lagi... Mungkin nanti akan berjaya...mungkin nanti...Gagal bukanlah pengakhir kehidupan...

P/S: Terima panggilan jam 12.36 tgh malam...terpisat-pisat mencapai telefon dan jantung bagai terhenti 3 saat...nombor dia...lama...lama benar saya tidak mendengar suaranya...lalu saya angkat...dan dia kata rindu...oh!...saya teramat takut untuk masuk ke alam itu lagi...

Monday, July 23, 2007

Meja Saya!


Serabut! Yup! meja saya jugak seserabut kepala hotak saya. Ok, ada a few things yang saya mesti settle by this week:


a) Buat claim projek Masjid Taman Perling.

b) Buat skrip 30 m/s untuk sebuah animasi.

c) Buat proposal untuk PGSB-One Stop Hardware.

d) Buat sebuah mininovella 20 m/s untuk contest Fair & Lovely.


Owhhh...saya terpaksa hentikan penulisan novel ketiga saya untuk sementara waktu....





Monday, July 16, 2007

Nak Belon...

Di Dataran Bandaraya, sebuah kereta Perdana V6 baru melungsur masuk ke kawasan memakir kenderaan. Suasana agak sibuk. Beberapa kereta keluar masuk. Kereta Perdana V6 berhenti sekejap sementara menanti tempat kosong.
Dataran Bandaraya Johor Bahru bukan sekadar dataran kosong. Di situ terdapat beberapa deretan kedai makan yang selalunya dipenuhi pengunjung terutama hari minggu. Jika teringin merasa steamboat, lambakan penjaja-penjaja steamboat juga boleh ditemui di sini. Pilih saja mana yang suka.
Dipinggir jalan kelihatan seorang penjual belon terjerit-jerit menarik perhatian kanak-kanak kecil.

"Nak belon..."
"Hishh....dah tua-tua pun nak main belon lagi?"
"Alaaa...nak jugak-nak jugak, nak belon yang bentuk beskal tu...."
"Jangan nak mengada-ngadalah..."
"Bolehlaaa..."
"Tak boleh!"

Alahai...apa kenala mak abah aku ni....gurauan jenis apakah ini...

Sunday, July 15, 2007

Cerita Busuk Lagi Membusukkan!


"Wei...ko nak gi sarapan tak?"

Saya terkejut bila Hakim tiba-tiba menjerit dari pintu bilik. Terpisat-pisat saya terjaga sambil tangan mencapai remote control aircond. Teett...saya matikan penghawa dingin yang buat tidur saya terlajak-lajak. Saya tarik tuala yang tergantung pada almari. Pintu bilik dikuak. Mata melirik pada jam dinding. Dah pukul 7.45 pagi. Nasib baik saya tak boleh solat eheh...

Abah yang baru keluar dari bilik tidur sudah siap berpakaian kemas.

"Nak gi sekarang ke bah?" soal saya seraya duduk di sofa. Berselubung dengan tuala.

"Abah bagi 5 minit" ringkas jawapan abah.

"Habis mana sempat nak mandi..."

"Pedulik apa" saya merengus. Ya! abah memang sangat mementingkan masa. Kalau terhegeh-hegeh alamatnya tak bersarapanlah saya...Hari-hari minggu begini memanglah saya tak berapa rajin nak ke dapur huhu!

Lantas tanpa lengah, saya masuk semula ke bilik. Salin t'shirt dan track bottom, langsung ke bilik air, cuci muka dan gosok gigi. Siap!

Saya terus keluar dari bilik sambil mengikat rambut.

"Hiii...tak mandi..." ejek Hakim sewaktu melangkah melintasi saya.

"Diamlah kau" tangan saya ringan saja menepuk kepalanya. Padan muka.


****************************************************

Pagi tu kami bersarapan di RZ Restaurant. Berisi saja perut. Kami terus ke tapak projek, ada pekerja yang perlu dipantau. Hmm tengok...hari minggu pun kerja. Kebetulan Acik Wan pun datang ke tempat yang sama.

"Eh? korang nak tengok cerita Harry Potter tak?" soal dia lepas lama berborak dengan mak dan abah. Saya dan Hakim saling berganti pandang. Hakim setuju saja. Tapi saya berfikir sepuluh kali.

"Alaa...orang tak mandi lagi laaa..." ujar saya sambil menggaru jerawat yang baru tumbuh didagu.

"Selamba je la...bukannya jauh sangat" Ok, pangung wayang tu memang cuma 500 meter je dari tapak projek. Saya terus berdiri dekat-dekat dengan mak.

"Nani bau busuk tak mak?"

"Tak..." Saya sengih sampai ke telinga. Lalu buat pertama kalinya saya masuk ke shopping complex dan menonton wayang dalam keadaan tidak mandi! Blergghhh....


****************************************************

Wayang habis jam 3 petang. Komen saya pada cerita Harry Potter tu: BOLEHLAAAA... Dalam perjalanan balik, saya sempat singgah office jap ambil barang. Sampai saja di rumah, Sharul sibuk suruh rasa tenpayaki yang dia masak. Dia memang dah sibuk telefon saya dari pukul 12 lagi. Nak pastikan saya tak makan tengah hari di luar. Dia masak special katanya. Pergghh...petang tu saya mentekedarah tenpayaki sepuas-puasnya. Dan mandi pada jam 4 petang eheheheh....




Wednesday, July 11, 2007

Di Ambang Sore...


Dalam renunganku seorang

Di ambang sore nan lalu

Tiada bisikan tenang

Temasya indahku bisu


Ke satu arah tertentu

Ku lepaskan pandanganku

Ke tempat janji bertemu

Simpang tiga rumpun bambu


Tiap sore ku nantikan

Di simpang tiga titian

Dengan debar kasih sayang

Kata mesra penghargaan


Entah apakah sebabnya

Tiada khabar berita

Sejuk senja ku nantikan

Namun dikau tiada datang...


*****************************************************


Tanya Abah "Apa lagi yang kamu tunggu..."

Saya terdiam. Termenung sambil merenung dada langit.

Lambat-lambat saya mengangkat bahu.

"Entah..."

Saya berpaling ke arah abah. Tiada senyuman.

Hanya pandangan sayu saya hadiahkan untuk Abah fahami.

Abah rengkuh bahu saya, ditepuk berkali-kali.

"Terima ajelah..."

Ujar Abah lalu bangkit dari duduknya.

Di atas tembok batu, saya kembali merenung langit. Malam dan saya menyatu.

Keheningannya membuai syahdu perasaan saya waktu itu.

Wajahnya hadir berbalam-balam.

"Dia takkan datang ambil saya...dan bawa saya pergi..."


********************************************************


Saya akhiri penantian saya di sini... (2005-2007)


P/S: Ini bukan ratapan ya, ini cuma satu penghijrahan perasaan : )

Monday, July 9, 2007

Release...

Hmm...hari ni rasanya saya dah mula rasa tenang. Sedikit tenang. Lebih tenang dari sebelum-sebelumnya. Asakan bebanan yang sejak seminggu dua mengganggu kepala rasanya sudah semakin ringan. Saya rasa mengambil keputusan untuk 'menghilangkan' diri selama dua hari lepas nampaknya berkesan. Ok saya cuma perlu fokus. Dan kerja adalah fokus utama saya. Yang lain, saya mahu tolak tepi. Biarlah apa orang nak kata. Saya akan tetap dengan pendirian saya. Cuma sekarang ni saya perlu cari kata-kata yang sesuai untuk mak, supaya dia tak kecik hati bila dengar keputusan saya nanti. Takut juga kalau mak berjauh hati. Saya tak mahu jadi anak derhaka. Tak pelah...kalau cakap elok-elok, ok agaknya. Tawakal je lah...



Huh! seronok hujung minggu ni. Saya habiskan masa melayan karenah sepupu-sepupu saya yang shomel lotey. Lukman (7 tahun) , Ehsan (6 tahun) dan Izzah (1 tahun lebih). Saja saya ke sana temankan mak cik saya, sebab pak cik saya ke Bangkok dua hari. Pening kepala jugak dengan budak-budak ni. Almaklum saja saya dah lama tak de adik kecik. Bila kena jaga budak-budak tu, kelam kabut juga jadinya. Sudahnya hari sabtu lepas, saya bawak diorang pi tengok cerita "Transformers". Amboi bukan main suka lagi diorang tu. Nasib baik berbaloi tengok cerita tu walaupun saya kena pangku Ehsan yang seberat 18 kilo, selama 2 jam lebih huhu! Cuma yang tak bestnya. Saya terbeli mainan Power Rangers untuk Ehsan tu sebelum movie, dan-dan tu lah dia mengaruk nak balik...ngantuk katanya...padahal bila sampai rumah berjam-jam digodeh mainannya tu. Bukannya nak tidur. Hai budak...budak... tapi saya seronok. Saya rasa 'hidup' semula. Dan saya rasa gembira untuk masa ni...harap-harap saya terus gembira macam ni selalu...

Tuesday, July 3, 2007

Saya Mencari Saya...

Dimana maruah saya? Serasa seperti diinjak sewenang-wenang. Serasa seperti terbang melayang separuhnya. Dalam lelah saya mencari saya yang hilang entah kemana. Saya seperti tidak berada dalam diri saya.
Sungguh-sungguh saya tidak gembira sebenarnya. Dikenalkan pada lelaki ini. Dikenalkan pada lelaki itu. Tersua sini. Tersua sana. Adakah pada usia begini saya sudah tidak berhak untuk membuat keputusan sendiri? Saya cuma sudah penat. Saban hari hidup dalam linangan air mata. Mimpi sudah lama tidak mengulit lena. Masakan mereka tidak sedar, kalau badan saya semakin melidi. Wajah saya semakin mencengkung. Hmm...Beban yang tergalas siapa yang tahu. Saya cuma perlu waktu. Seketika. Untuk saya uruskan satu-satu. Kerjaya dan masa depan. Buat saat ini impian saya lebih penting dari lelaki. Ya, saya faham. Umur sudah semakin melewati masa. Cuma saya tidak mahu dipaksa. Saya perlu ruang untuk bernafas tenang... Biarkan saya...

Monday, June 18, 2007

Selamat Hari Bapa!

Tiada kata terindah mampu saya ungkapkan buat abah yang tercinta. Kalaulah abah tau, saya sangat-sangat menjunjung kasihnya, pasti dia berasa bangga. Ingin sekali saya teriakkan kepada dunia, abahlah yang terbaik, abahlah yang terunggul. Selalu memahami. Jarang sekali merungut. Abah seorang yang tahu apa yang dia lakukan. Abah seorang yang punya cita-cita, yang tingginya melepasi awan. Impiannya seluas lautan. Terima kasih buat abah yang telah banyak berkorban. Sesungguhnya pengorbanan itu takkan pernah saya lupuskan dari ingatan.

Sunday, June 3, 2007

Tekad! Tekad! Tekad!

Ada beberapa perkara berlaku pada minggu lepas. Ada yang bagus. Ada yang tak begitu bagus.

Novel kedua bakal diterbitkan
Saya selalu percaya pada diri saya. Kalau saya punya impian, saya akan kejar hingga ianya menjadi kenyataan. Saya pasti tekad yang tertanam dalam hati akan selalu membantu, yang penting usaha dan tawakal. Pada ketika itu, Allah akan dekatkan pada apa yang kita impikan. Minggu lepas saya ke Shah Alam untuk serahkan disket dan manuskrip bagi novel kedua saya 'Jelita'. Alhamdulillah, nanti novel itu bakal diterbitkan dibawah penerbitan 'Buku Prima'. Sesuatu yang sangat tidak sabar untuk saya nantikan.

Menolak lamaran
Ah! saya hampir-hampir dikahwinkan dengan seseorang yang saya tidak kenal. Gila! siapa yang nak. Macam saya ni desperado sangat. Ok...ok...saya akan kahwin juga satu hari nanti. Tapi bukan dalam keadaan terpaksa. Semuanya mesti berlaku dengan rela hati. Nasib baik perkahwinan tu tak jadi, kalau jadi? huwaaaa!! saya akan duduk serumah, makan sepinggan dan tidur sekatil dengan 'stranger'. No way!

Pirates of the Carribean:At World's End
Saya dah tengok cerita ni! Best gila pada saya. Lebih best daripada movie 'Spiderman 3' yang saya ingat best sangat. Memanglah jalan ceritanya agak meleret, tapi saya rasa ok. Saya suka! Dan saya rasa puas. Walaupun saya mengantuk sedikit, tapi logiklah, sebab saya tonton cerita tu pada pukul 9.50 pm, berbeza dengan cerita 'Spiderman 3' yang saya tonton pada pukul 10.00 am tapi tetap jugak rasa mengantuk. Tak sabar nak tunggu Transformers dan Fantastic 4. Mana agaknya yang terhebat tahun ni.

Tuisyen Komik
Saya bakal berkolaborasi dengan seorang teman dari Indonesia, kami bakal buka sebuah kelas komik untuk mereka-mereka yang mahu belajar tentang komik. Sesuatu yang dulunya tak pernah terlintas dalam kepala otak saya. Ok, harapnya semuanya sukses-sukses saja!

Interview Pengambilan Pekerja
Satu penaglaman yang tak pernah saya lalui sebelum ini. Selalunya saya di-interview sekarang ni meng-interview pulak. Dua orang pekerja telah ditawarkan untuk jawatan Juruteknik Sivil dan Kerani Am. Jumaat ni bakal ada sebuah lagi interview. Hebat jugak merasa jadi bos ni!

Monday, May 28, 2007

Kereta Kancil Saya


Saya pokai bulan ni. Duit saya banyak dihabiskan untuk kereta kancil saya. Hmm... nak buat macam mana, orang lain pakai kereta, saya pun nak pakai kereta jugak. Sudahnya, saya tak dapat shopping untuk bulan ni huhu!

Perbelanjaan kereta kancil saya:

Tukar tayar 3 biji+tampal 1 biji tayar+tukar plat brek pada tayar+alignment tayar=RM600
Tukar timing belt=RM450
Service kereta+tukar entah apa-apa jenis minyak=RM98
Total=RM1148

Cissss!!! banyak tu...hai barulah tau bebannya pakai kereta sendiri. Owh... adik saya beli kereta lagi. Satria Neo tu...dia tak tau yang saya tengah recce-recce Hyundai Ascent eheheh...

Thursday, May 24, 2007

Kualat

Kadang-kadang kita rasa marah pada seseorang. Tapi kita tak boleh luahkan. Mungkin kerana orang-orang itu adalah orang-orang yang kita sayang atau sangat kita hormati. Lalu kemarahan itu hanya kita mampu simpan berbuku didalam hati. Tapi kadang-kadang orang yang kita sayang itu tidak faham. Atau mungkin tidak sedar yang kata-kata mereka itu menjengkelkan atau kadang kala amat menyentuh perasaan. Lalu adakah wajar kita hamburkan kemarahan kepada mereka, walaupun orang-orang itu adalah orang-orang yang sangat kita hormati?
Tanpa sedar, mengawal kemarahan itu adalah satu perjuangan yang amat besar.

Hmm...ok saya marah semalam. Dan saya sudah terima balasannya pagi tadi. Nampaknya hari ini saya memulakan perjalanan hidup saya dengan beberapa situasi yang kurang baik. Bak kata orang jawa, kualat. Jangan nasib tak baik ni sampai ke petang sudahlah...

Wednesday, May 23, 2007

Keajaiban Cinta


Cinta tidak mengenal usia. Bila ia hadir, ia akan terus hadir membelai rasa.

Seseorang yang sangat dekat dengan saya akan menikah lagi. Untuk kali kedua selepas berpisah dengan suaminya yang telah berkahwin lagi dan lagi. Cerita tentangnya dan kisah lampaunya banyak saya simpan sebagai pedoman. Setiap detik perjalanan hidupnya amat menyedihkan dan penuh dengan dugaan. Setelah menjanda, dia pernah difitnah, dihina, dipandang serong oleh masyarakat, didatangkan dengan cabaran-cabaran yang saya pasti tidak semua orang mampu melaluinya. Simpati saya buat dia, tidak banyak yang saya dapat bantu melainkan menjadi seorang pendengar.
Alhamdulillah...seorang yang sabar dan sentiasa tawakal kepadaNya pasti akan dikurniakan penyudah yang baik. Seseorang hadir dalam hidupnya. Membantu, menyayangi dan mengasihi dengan penuh ikhlas dan sejujur hati. Seperti Siti Khadijah dan Rasulullah, dia dan lelaki itu berbeza umur 13 tahun. Saya terharu. Orang-orang yang mengenali dan berada dikelilingnya juga merasa amat gembira. Benar kata-kata yang saya dengar, seorang yang baik pasti akan dipertemukan dengan pasangan yang baik. Insya-Allah, nanti dia akan menikah lagi. Doa saya semoga jodoh mereka berkekalan. Dan semoga tiada lagi tangisan sedih menemani hidupnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengasihani.

Teman rapat saya juga bakal mendirikan rumah tangga. Awal tahun depan katanya. Cerita cintanya juga cukup ajaib. Dia tidak pernah mengenali si lelaki. Ketika berada di Tanah Suci, lelaki itu telah termimpikan seorang gadis sewaktu tidurnya. Kisah mimpi itu diceritakan pada sahabatnya yang juga teman rapat pada teman saya. Tidak lama setelah pulang ke Malaysia, mereka dipertemukan. Si lelaki terdetak hatinya. Itulah gadis dalam mimpinya. Hubungan mula terjalin. Rupa-rupanya dia adalah lelaki yang sangat berharta. Tuah yang tidak terduga buat teman saya. Walaupun dia seorang duda tapi mulia hatinya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Teman saya bakal jadi 'ibu instant' pada 5 orang anak. Syukurlah, dia sendiri dapat menerima takdir Allah itu dengan redha.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah.

Saya...lelaki datang dan pergi dalam hidup saya. Tidak hairanlah dalam usia 28 tahun ibu dan ayah amat gusar tentang saya yang masih lagi belum pernah merasa mencintai jauh sekali dicintai. Sedangkan teman-teman yang lain sudah punya anak dua, saya masih lagi melayari bahtera hidup sendirian. Tapi itukan ketentuanNya. Siapalah saya hendak menafikan ketentuan Allah buat saya. Saya percaya pada jodoh. Baru-baru ini ada seseorang meluahkan rasa cintanya pada saya. Saya tidak pernah mengenalinya, yang saya tahu, dia itu muda setahun dari saya. Tapi dia sudah jatuh cinta setelah melihat gambar saya di rumah datuk. Aduhai...penangan cinta, tiada siapa yang mampu menahan. Cuma perasaannya itu buat saya berdebar. Adakah begini caranya saya bertemu jodoh? Adakah saya akan mengabdikan seluruh usia saya bersama lelaki yang tidak pernah saya kenali? Memikirkannya membuat saya gerun. Lalu untuk kesekian kalinya, saya serahkan semuanya pada Allah.
Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Sunday, May 20, 2007

Kebanjiran Dugaan

Ini sekadar gambar hiasan.

Pejabat saya mengalami kebakaran minor sehari sebelum syarikat saya dilancarkan secara rasmi. Lampu kalimantang pada bahagian meja kerani tiba-tiba meletup. Api yang keluar agak menggerunkan sehingga merecik-recik pada carpet. Syukur dapat dipadamkan sebelum ianya merebak lebih teruk.

Dugaan...


Saya terlalu panik sehingga lupa untuk menutup paip air, selepas saya gunakan untuk memadam kebakaran. Air melimpah hingga ke bilik mesyuarat tanpa saya sedari. 1/3 carpet bilik mesyuarat termasuk kawasan depan bilik air basah. Semuanya berlaku sehari sebelum pelancaran syarikat saya.

Dugaan...


Malamnya, balik sahaja ke rumah setelah bertungkus lumus memperbetulkan segala kerosakan di pejabat, air cond di bilik saya pula bocor. Pada jam 1 pagi waktu saya sedang tidur nyenyak kepenatan, tiba-tiba saya terasa ada air menitik ke muka. Separuh katil basah. Terpaksalah saya tidur di luar malam tu.

Dugaan...


Rumah saya dilanda banjir. Petang sabtu lalu, air naik setinggi 2 kaki di dalam rumah. Banyak barang saya basah memandangkan saya baru saja berpindah semula ke rumah orang tua saya di Johor Bahru. Hampir separuh terpaksa saya buang. Nasib baik manuskrip dan disket-disket saya sempat diselamatkan. Kalau tidak, saya pasti menangis tiga hari, tiga malam.

Dugaan...


Sesungguhnya segala yang ditentukan Allah itu takkan terdaya untuk kita lawan. Apa yang terjadi akan tetap terjadi. Dan dugaan-dugaan ini semakin mendekatkan saya padaNya...

Wednesday, May 16, 2007

Kembali semula ke sarang

Saya seperti burung. Terbang melayang mencari makan. Sampai masa perut kenyang. Saya pulang semula ke sarang.
Saya seperti burung. Namun saya belum mampu terbang tinggi. Langit yang jauh ingin saya jejaki. Dengan tekad tertanam di hati. Moga impian kan jadi realiti.
Saya seperti burung...

(Percaya diri! Semangat dan harapan pasti akan menjadi kenyataan!)